Saturday, May 24, 2008

Sukma Terengganu: Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat terima bantuan pengurusan daripada Kerajaan Negeri Kelantan

Timur: Kelantan umum ganjaran pingat diraih atlit Sukma
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan mengumumkan ganjaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap pingat yang dimenangi oleh atlit negeri ini ketika menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Terengganu, mulai akhir bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Abdul Fattah Mahmood, berkata insentif terbabit adalah sebagai dorongan dan pembakar semangat semua atlit negeri ini supaya berusaha mencipta kecemerlangan dalam acara yang disertai masing-masing. "Atlit yang meraih pingat emas akan menerima RM1,000; perak RM700, manakala gangsa RM500 sebagai penghargaan kepada mereka yang cemerlang dalam setiap kejohanan sukan di peringkat kebangsaan seperti Sukma.

"Pemberian insentif ini adalah inisiatif kerajaan negeri menghargai atlit selain menggalakkan mereka meneruskan rentak cemerlang dalam sukan yang disertai. Sebelum ini, atlit olahraga dan sepak takraw yang memenangi pingat emas peringkat kebangsaan dan luar negara diberikan insentif sama," katanya. Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan bantuan pengurusan kepada lapan persatuan sukan negeri di Kota Darul Naim, semalam. Antara persatuan sukan yang menerima bantuan pengurusan bernilai RM2,000 hingga RM3,000 itu ialah Persatuan Gimnastik, Skuasy, Persatuan Tinju Amatur negeri, pasukan Berkuda Pasir Hor, Pertubuhan Seni Silat Terlak Empat, Tenpin Bo ling dan Kriket. Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri berharap bantuan pengurusan itu dapat menyuntik semangat persatuan sukan yang akan menyertai sesuatu kejohanan termasuk Sukma.
"Kerajaan memberi sokongan kepada usaha pembangunan sukan dan bantuan pengurusan yang disalurkan adalah antara pendekatan untuk membantu persatuan negeri ini. Saya harap persatuan sukan dapat memanfaatkan bantuan pengurusan itu untuk keperluan mereka, khususnya dalam membiayai program yang dijalankan," katanya. Beliau berkata, persatuan sukan dan atlit negeri ini diharapkan terus mempamerkan kecemerlangan, sekali gus mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah, katanya, kerajaan negeri yakin dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mampu meningkatkan program pembangunan sukan di peringkat nasional. "Saya yakin kepemimpinan baru dalam Kementerian Belia dan Sukan kini dapat membantu setiap negeri termasuk Kelantan meningkatkan pembangunan sukan dan kita tiada masalah memberi kerjasama yang diperlukan dalam konteks sukan," katanya.

No comments: